Salam ceria buat pembaca semua.
Hari ini saya ingin bercerita tentang kepentingan pembungkusan barangan kraf dan cenderahati. Pembungkusan sebagai satu bidang yang mana memainkan peranannya secara berkesan dalam industri kraftangan tempatan.
Pasaran kraftangan sedang menghadapi permintaan pengguna yang tinggi terhadap keindahan dan kualiti barangan. Kepekaan pasaran ini telah mendorong kita untuk memberikan perhatian yang serius terhadap bidang pembungkusan dan peranannya. Pada hari ini, apa sahaja keluaran yang hendak dimajukan dengan mengambil kira citarasa dan kepuasan para pelanggan, bidang pembungkusan sebagai salah satu aspek pengeluaran dan rekabentuk yang paling penting perlulah diberikan pertimbangan yang serius.
Kajian telah menunjukkan bahawa pembungkusan atau rekabentuk pembngkusan telah menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding dengan pengiklanan keluaran secara langsung yang tidak mempunyai pakej pemasaran yang menarik atau berkesan. Hari ini, disebabkan oleh permintaan yang kian meningkat terhadap keluaran-keluaran berkualiti oleh para pelanggan yang sofistikated, termasuk tekanan yang berterusan oleh para pesaing, keluaran-keluaran berkenaan perlulah dibungkus dengan menarik. Keluaran disertakan dengan pembungkusan yang menarik serta dapat memenuhi citarasa para pengguna pasti mendapat sambutan dimana-mana pasaran.
Kesimpulannya, pembungkusan yang menepati citarasa mana-mana pasaran, akan memberikan saingan yang lebih baik berbanding dengan keluaran-keluaran lain didalam kategori yang sama. Memandangkan keindahan keluaran adalah perkara yang paling penting yang boleh mempengaruhi keputusan membeli, maka pembungkusan mestilah disediakan dengan mutu keindahan yang tinggi.
Oleh kerana pembungkus sesuatu keluaran membawa kepada matlamat terakhir pengeluar, iaitu menjual keluaran tersebut kepada sasaran pasaran yang telah dirancangkan dan juga untuk mewujudkan kesedaran di kalangan pengguna, ia mestilah memaparkan imej yang jelas.
Setakat ini sahaja perkongsian ilmu untuk hari ini. Moga bertemu di entri yang akan datang.