Memaparkan catatan dengan label catatan harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan harian. Papar semua catatan

Ahad, 13 April 2014

Benarkah Hasil Kraftangan Kita Mahal?

Salam Sejahtera semua,

Hari ini saya ingin bercerita tentang hasil kraftangan kita, benarkah ianya mahal?.

Anda sedang membelek-belek sebuah beg yang diperbuat daripada tenunan songket. Anda dapati coraknya amat menarik sekali, halus buatannya dan rekabentuknya setanding dengan beg-beg berjenama antarabangsa yang diperbuat daripada kulit. Fikiran anda sedang memutuskan kewajaran membelinya apabila melihat tanda harganya. "Mengapa mahal sangat?" tanya anda sendirian, "tak sanggup kubelanja sebegitu banyak duit".

Adakah anda termasuk ke dalam golongan sebegini? Jika jawapannya ya, teruskanlah membaca untuk mengetahui keadaan industri kraf masakini.

Bagi pelbagai hasil anyaman mengkuang dan pandan, atau daun sal, ribu-ribu, buluh dan rotan, mahupun batang langkap, menerung, kercut serta bemban. Dengan peluh dan kejerihan dikeluarkan dari semak samun, paya, belukar, belantara dan hutan, dibuang duri, dipisahkan kulit, dipulur, dibilah, direndam, direbus, dijemur, diawet, dilurut, dilayur, dijangka, diwarnakan. Dianyam, dibentuk, dihias dan dikemaskan.

Beralih pula kita kedunia pasaran, kita biasanya menerima hakikat bahawa yang diimport memanglah berharga kelas atasan. Lalu yang membelinya boleh bermegah menunjukkan kemampuan. Jadi tidak bolehkah hakikat ini disesuaikan dengan keluaran tempatan?.

Untuk itu, sebagai pengusaha kraftangan kita haruslah :-

1. Mengekalkan 'exclusivity' dan keungulan supaya tidak dicap sebagai pengeluar barang 'murahan',

2. Menjaga imej kita supaya dikenali sebagai pengeluar hasil kraftangan yang layak dijual di 'Harrods' yang melambangkan kecemerlangan dan kegemilangan dan bukannya sekelas yang dijual ditepian jalan,

3. Kualiti pembuatan yang paling tinggi dapat dipastikan dengan kedayaciptaan yang kreatif, kemaskini serta mencerminkan kecanggihan. Juga cara penghasilan dengan teknologi masakini, penggunaan bahan serta peralatan yang lebih berkesan hasil kajian dan penyelidikan, ditambah dengan kepakaran dan kemahiran melalui latihan dan bimbingan.

Penutup kata, kepentingan pengeluar kraftangan kita perlu dijaga supaya penglibatan mereka dalam industri kraf dapat dikekalkan. Semoga industri kraf menjamin pentahapan ekonomi dengan memastikan pendapatan yang lebih tinggi disamping membangunkan masyarakat dinegara yang kita cintainya.

Membelek-belek semula hasil kraf keluaran tempatan tadi, terasa pula yang harganya amat berpatutan dan tidaklah tinggi, malahan bila difikir-fikirkan sekali lagi harganya tidaklah mahal sama sekali.

Setakat ini perkongsian saya hari ini, semoga berjumpa lagi pada entri yang akan datang.

Sabtu, 5 April 2014

Tentang Kraf

Hari ini saya nak share tentang satu informasi mengenai kraf. Kita sering membaca didalam majalah atau mana-mana media cetak yang menceritakan tentang kraf, pengusaha kraf, bentuk rekaan baru bagi kraf dan sebagainya. Dalam usaha mereka bentuk baru sesuatu produk, kita perlu melihat apa yang sesuai untuk bahan dan bentuk, dan reka bentuk produk mesti ditingkatkan. Kita perlu menyediakan sesuatu produk yang lebih mahal dalam ertikata kualiti dan penampilan untuk memenuhi kehendak pengguna.

Jom fikirkan, apabila kita menyebut tentang mereka bentuk baru bagi sesuatu produk, pereka selalunya memainkan peranan yang amat penting tapi persoalannya adakah semua pengusaha kraf adalah pereka (designers) dan adakah semua pereka adalah pengusaha?. Seseorang yang meminati kraf mempunyai sudut pandangan yang berbeza tentang sesuatu produk yang dilihatnya. Contohnya, ada yang sekadar melihat sesuatu bentuk kraf sebagai bentuk yang cantik sahaja dan bagi seseorang yang mempunyai kreativiti ianya akan melihat keindahan, maksud dan uniknya seni yang ditonjolkan pada produk tersebut.

Tidak semua pembuat bakul bangun pada waktu malam dengan visi ciptaan mereka dan mendengar soalan dan jawapan dalam diri. Adakah aku suka dengan penghasilan aku ini? adakah sesiapa menyukainya?. Pasti tidak. Ini bukan bentuk yang mereka faham. Tetapi ianya adalah tidak benar, betulkan? Mengapa ianya perlu? Ianya lemah?. Tidak, tetapi warnanya baik. Adakah itu mencukupi? Sudah tentu tidak, ia akan dibuat semula. Mengapa? kerana ia bukan yang aku maksudkan. Apa yang aku maksudkan? Aku akan melihanya semula pada waktu pagi. Aku perlu bijak dan berani, aku akan buat sekali lagi, atau dua kali atau sepuluh kali sehingga aku mencapai apa yang aku kehendaki.

Sesungguhnya, ini adalah fakta yang benar. Kemahiran asas tidak boleh dipelajari dengan cepat melalui kajian intensif. Pengetahuan mesti berkembang daripada pengalaman praktikal, mata juga perlu belajar untuk melihat dengan persepsi yang kritikal.

Setakat ini perkongsian untuk hari ini. Semoga berjumpa lagi dimasa yang lain.

Isnin, 31 Mac 2014

Hobi Utama Ku

Salam Sejahtera Kepada Semua,

Hari ini saya nak kongsi tentang hobi utama saya. Saya gemar memasak masakan tradisional, cara penyediaan tradisional dan untuk itu saya gemar membeli dan menyimpan buku resepi masakan (walaupun tidak semua resepi yang ada didalam buku tersebut saya mencubanya). 

Menyebut tentang cara penyediaan tradisional, saya masih praktiskan menggunakan batu giling atau lesung batu untuk menyediakan sambal goreng, asam pedas atau lain-lain masakan tetapi tidaklah terlalu kerap (kerana penyediaan cara tradisional mengambil masa lebih lama).

Disini saya akan kongsikan satu resepi iaitu rojak (resepi ini adalah dari arwah nenek saya). Selalunya rojak ini akan disediakan apabila adanya kenduri dirumah. Boleh juga dijadikan sajian minuman petang.

Bahan-bahan rojak.

1 butir sengkuang
1 biji timun
5 keping tempe goreng
2 keping tauhu goreng
Taugeh anggaran RM0.50
Sedikit nenas masak (tak nak pun tidak mengapa)

Cara-cara penyediaannya :

1. Timun, sengkuang dan nenas dihiris halus. Bersihkan taugeh.
2. Timun dan taugeh hendaklah dicelur
3. Tempe dan tauhu dipotong kecil


Bahan untuk kuah.

1. Kacang tanah anggaran RM2.00 (digorang tanpa minyak hingga garing dan dikisar halus)
2. 3 sudu cili mesin (sekiranya suka pedas boleh letak lebih sedikit)
3. 1/2 butir bawang besar (dimayang halus)
4. Sedikit gula, garam, air asam jawa dan serbuk perasa
5. Minyak masak secukupnya untuk menumis

Cara-cara penyediaannya :

1. Tumis bawang sehingga wangi, kemudian masukkan cili mesin. Goreng hingga agak garing.
2. Masukkan 2 cawan air, gula garam, serbuk perasa dan air asam jawa secukup rasa. Didihkan kuah hingga masak. Sesudah masak sejukkan.
3. Masukkan kacang yang telah dikisar tadi, kacau hingga rata. Sekiranya kuah pekat sangat, cairkan sedikit dengan menambahkan sedikit air masak.
4. Tuangkan kuah keatas bahan rojak yang telah dimasukkan didalam mangkuk tadi. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba resepi saya ini.