Salam Sejahtera semua,
Hari ini saya ingin bercerita tentang hasil kraftangan kita, benarkah ianya mahal?.
Anda sedang membelek-belek sebuah beg yang diperbuat daripada tenunan songket. Anda dapati coraknya amat menarik sekali, halus buatannya dan rekabentuknya setanding dengan beg-beg berjenama antarabangsa yang diperbuat daripada kulit. Fikiran anda sedang memutuskan kewajaran membelinya apabila melihat tanda harganya. "Mengapa mahal sangat?" tanya anda sendirian, "tak sanggup kubelanja sebegitu banyak duit".
Adakah anda termasuk ke dalam golongan sebegini? Jika jawapannya ya, teruskanlah membaca untuk mengetahui keadaan industri kraf masakini.
Bagi pelbagai hasil anyaman mengkuang dan pandan, atau daun sal, ribu-ribu, buluh dan rotan, mahupun batang langkap, menerung, kercut serta bemban. Dengan peluh dan kejerihan dikeluarkan dari semak samun, paya, belukar, belantara dan hutan, dibuang duri, dipisahkan kulit, dipulur, dibilah, direndam, direbus, dijemur, diawet, dilurut, dilayur, dijangka, diwarnakan. Dianyam, dibentuk, dihias dan dikemaskan.
Beralih pula kita kedunia pasaran, kita biasanya menerima hakikat bahawa yang diimport memanglah berharga kelas atasan. Lalu yang membelinya boleh bermegah menunjukkan kemampuan. Jadi tidak bolehkah hakikat ini disesuaikan dengan keluaran tempatan?.
Untuk itu, sebagai pengusaha kraftangan kita haruslah :-
1. Mengekalkan 'exclusivity' dan keungulan supaya tidak dicap sebagai pengeluar barang 'murahan',
2. Menjaga imej kita supaya dikenali sebagai pengeluar hasil kraftangan yang layak dijual di 'Harrods' yang melambangkan kecemerlangan dan kegemilangan dan bukannya sekelas yang dijual ditepian jalan,
3. Kualiti pembuatan yang paling tinggi dapat dipastikan dengan kedayaciptaan yang kreatif, kemaskini serta mencerminkan kecanggihan. Juga cara penghasilan dengan teknologi masakini, penggunaan bahan serta peralatan yang lebih berkesan hasil kajian dan penyelidikan, ditambah dengan kepakaran dan kemahiran melalui latihan dan bimbingan.
Penutup kata, kepentingan pengeluar kraftangan kita perlu dijaga supaya penglibatan mereka dalam industri kraf dapat dikekalkan. Semoga industri kraf menjamin pentahapan ekonomi dengan memastikan pendapatan yang lebih tinggi disamping membangunkan masyarakat dinegara yang kita cintainya.
Membelek-belek semula hasil kraf keluaran tempatan tadi, terasa pula yang harganya amat berpatutan dan tidaklah tinggi, malahan bila difikir-fikirkan sekali lagi harganya tidaklah mahal sama sekali.
Setakat ini perkongsian saya hari ini, semoga berjumpa lagi pada entri yang akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan